Latar belakang Aminuddin_Harun

Aminuddin telah dilahirkan pada 2 Jan 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Negeri Sembilan.[2]

Beliau telah menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang UiTM) dalam bidang perniagaan.

Beliau kemudiannya bertugas sebagai pegawai penyiasat Badan Pencegah Rasuah dari 1991 hingga 1995. Pada 1995, beliau menyertai syarikat Golden Hope Furniture Sdn Bhd sebagai ketua pengurusan pengeluaran dan kemudian di MCIS Safety Glass (M) Sdn Bhd sebagai Eksekutif Senior dari 1996 sehingga 2008 sebagai ketua bahagian jualan, jawatankuasa pengurusan, panel siasatan dalaman dan auditor ISO/TS 16949:2002.[2]

Sebelum menyertai PKR pada 1999, Aminuddin merupakan anggota UMNO dan pernah menjadi setiausaha UMNO Cawangan Kampung Pachitan (1995-1998) serta Setiausaha Pemuda UMNO DUN Jimah (1997-1998).

Aminuddin ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sejak 2008. Kemudian, beliau menganggotai Majlis Pimpinan Pusat PKR sejak 2014 dan turut aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Persatuan Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) dan Angkatan Belia Islam Malaysia.

Berikutan kemenangan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan pada Pilihan raya umum Malaysia 2018, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 12 Mei 2018 di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah.